Sunday, March 7, 2010

ULASAN BERKENAAN PENGGUNAAN BAHASA INGGERIS DI KALANGAN CALON SPM.

Dalam dunia masa kini,penguasaan dalam Bahasa Inggeris amat penting kerana bahasa ini sering dipraktikkan dalam kehidupan seharian manusia.Jika kita lihat dengan lebih terperinci,bahasa inggeris acapkali digunakan dalam segala urusan.Penguasaan bahasa inggeris yang mantap akan memberikan kesan yang mendalam terhadap kehidupan masyarakat di Malaysia tetapi,persoalannya ialah bagaimanakah penguasaan bahasa inggeris ini dapat dipraktikkan ke dalam kehidupan masyarakat Malaysia.

Pada pandangan saya,kerajaan telah mengambil pelbagai langkah inisiatif untuk mempertingkatkan penggunaan bahasa inggeris di kalangan masyarakat Malaysia.Seperti yang dapat dilihat,kerajaan mensasarkan generasi muda sebagai salah satu agen untuk mempertingkatkan penggunaan bahasa inggeris.Contoh yang paling jelas yang kita dapat lihat ialah pada tahun 2003 yang lalu,Datuk Seri Tun Dr. Mahathir Mohammad telah memperkenalkan satu dasar iaitu dasar pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa inggeris atau lebih dikenali sebagai dasar PPMSI.

Walaupun pada mulanya dasar ini diperkenalkan,ianya mendapat pelbagai tentangan dan seringkali menjadi isu,namun apabila dasar ini diterapkan secara perlahan-lahan ke dalam kehidupan para pelajar,ianya telah berfungsi dengan baik malahan ianya dapat memberi pelbagai kesan kepada pelajar terutamanya terhadap penggunaan inggeris di kalangan pelajar.
Walau bagaimanapun,dasar PPSMI ini telah dipertimbangkan dan kerajaan telah mengambil langkah untuk memansuhkan dasar ini pada tahun 2012. Hal ini berikutan tindakan ahli-ahli GMP yang membantah polisi ini kerana ia bukan sahaja membebankan pelajar malah tidak bersesuaian dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.Isu penguasaan bahasa inggeris ini seringkali menjadi perbualan di kalangan rakyat Malaysia dan pada 1 Februari 2010 yang lalu,rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu meningkatkan penguasaan bahasa inggeris di kalangan calon Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) pada tahun depan.Dalam kenyataan tersebut,kerajaan sedang mempertimbangkan secara serius untuk mensyaratkan semua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia mestilah lulus dalam subjek bahasa inggeris bagi memperolehi sijil penuh.


Dalam keratan akhbar utusan yang bertarikh pada 2 Februari 2010,Tan Sri Muhyiddin Yasin yang juga selaku timbalan perdana menteri menyatakan,apabila sitem ini dilaksanakan pelajar akan lebih memberi perhatian terhadap bahasa inggeris.Walau bagaimanapun,penyataan dari ketua pengarah pelajaran iaitu Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menjelaskan mata pelajaran Bahasa Inggeris sekarang diajar menggunakan kaedah `Communicative English’ bagi memantapkan penggunaan bahasa kedua itu di kalangan pelajar.

Menurut beliau lagi kaedah `Communicative English’ ini digunakan sejak awal 1980-an bagi menggantikan kaedah pembelajaran tatabahasa, sekali gus meningkatkan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perhubungan.

Ini berbeza dengan kaedah terdahulu yang menekankan pemahaman tatabahasa berbanding komunikasi, tetapi kaedah kini adalah sebaliknya dengan menekankan komunikasi.Penyataan ini telah menimbulkan reaksi yang kurang senang pada timbalan perdana menteri.

Pada pandangan saya, setiap cadangan itu pasti ada pro dan kontra dan ini tidak ketinggalan bagi isu ini.Cadangan untuk memperkenalkan sistem ini adalah difikirkan bersesuaian dengan pelajar tetapi bukan pada waktu sekarang. Jika kita lihat melalui pemikiran pelajar yang menganggap sistem ini membebankan,sampai bila-bila pelajar tersebut tidak akan dapat menguasai bahasa inggeris dengan sempurna.Bagi saya,jika kerajaan ingin mengambil langkah yang inisiatif dengan menjadikan sistem ini sebagai satu cabaran kepada pelajar,ianya mungkin dapat memberi kesan kepada pelajar.Oleh yang demikian,pelajar akan lebih memberi tumpuan terhadap subjek bahasa inggeris bagi mendapatkan sijil penuh dalam SPM.

Tetapi,jika direnung kembali kita juga perlu fikirkan status penduduk itu sendiri. Contohnya, bagi penduduk yang tinggal di ibu kota atau di bandar,mungkin sistem ini tidak menjadi masalah kepada mereka kerana kehidupan seharian mereka sendiri lebih terjerumus ke arah penggunaan bahasa inggeris.Hal ini berlaina dengan penduduk luar bandar. Cara hidup dan pengaruh sekeliling mereka yang jauh berbeza antara mungkin menjadi faktor perbezaan ketara dan penyebab jurang penguasaan bahasa inggeris antara kawasan di bandar dan kawasan luar bandar.Jurang lain yang kita dapat lihat ialah kemudahan di sesuatu kawasan terebut sendiri.
Di bandar serba serbi lengkap dengan kemudahan sekolah yang canggih, kelas tuisyen yang bagus dan ibu bapa yang berkemampuan untuk menghabiskan wang bagi membolehkan anak-anak mereka mendapat sistem pembelajaran yang sempurna.Selain itu,di bandar juga,anak-anak dapat menikmati kemudahan internet dengan senang,kehidupan dengan komputer yang menyeronokkan dan saya percaya bahawa kebanyakkan komputer di Malaysia adalah menggunakan pengisian yang lebih melibatkan penggunaan bahasa inggeris.


Hal ini berbeza sama sekali dengan keadaan di luar bandar.Di luar bandar sosio-ekonomi mereka tidak semaju di bandar dan mereka mungkin mengharapkan guru di sekolah sahaja bagi memperoleh ilmu dan yang lain terpulang pada diri mereka masing-masing.Mereka juga tidak dapat mengecap kehidupan seperti kanak-kanak yang tinggal di kawasan bandar.
Di samping itu,guru juga merupakan faktor yang penting dalam merealisasikan idea ini kerana guru adalah penyumbang kepada ilmu yang bakal digapai oleh anak-anak bangsa kita ini. Guru yang berkhidmat di pedalaman atau di bandar sama sahaja dari segi kebolehan. Mereka menerima latihan dari institut perguruan atau universiti yang rata-ratanya mempunyai silibus yang sama. Cuma mungkin sejauh mana mereka berusaha mempelbagaikan teknik pengajaran dan pembelajaran memberi kesan kepada pelajar.

Justeru,guru perlu dibimbing dengan lebih baik dan diberi pengajaran yang lebih intensif terutamanya dalam bahasa Inggeris sebelum idea ini diwajibkan ke peperiksaan SPM.Mengikut statistik SPM yang lalu, pelajar yang lulus mata pelajaran ini adalah di sekitar 70% dan ini bermakna jika idea ini dijalankan, lebih kurang 30% pelajar akan keciciran dan gagal menerima sijil mereka, suatu jumlah yang besar jika difikirkan kembali.


Menurut kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam keratan akhbar tersebut,lebih 300 guru asing akan diambil bagi memantau prestasi guru-guru subjek bahasa inggeris tempatan mulai tahun depan.Tetapi,sejauh manakah cadangan ini dapat memberi kesan kepada prestasi guru-guru dan sekiranya ini berjaya meningkatkan prestasi guru dalam sistem pengajaran,adakah sistem pembelajaran juga dapat dipertingkatkan.

Mungkin apa yang perlu dilakukan sebelum sistem ini dapat dijalankan,pihak yang berkenaan perlulah turun padang bagi melihat sendiri keadaan pembelajaran dan pengajaran di sekolaah-sekolah termasuk di sekolah luar bandar.Dengan ini,saya percaya kerajaan akan dapat mengenalpasti masalah yang mungkin akan timbul semasa sistem ini dijalankan kelak.
Selain itu,sistem pembelajaran bahasa inggeris di sekolah juga kebanyakkanya lebih menekankan supaya pelajar dapat menjawab soalan-soalan di dalam peperiksaan walhal apa yang lebih diperlukan adalah kemahiran berkomunikasi di dalam bahasa inggeris.Bagi pendapat saya,pelajar-pelajar akan lebih cenderung untuk belajar bahasa inggeris bagi menjawab soalan-soalan di dalam peperiksaan sahaja dan bukannya digunakan untuk berkomunikasi.Malaysian University English Test(MUET) adalah salah satu langkah yang paling berkesan bagi meningkatkan penggunaan bahasa inggeris di kalangan pelajar.


Oleh yang demikian,pada pandangan saya kerajaan mungkin boleh mengambil langkah yang bersesuaian dengan memperkenalkan sistem pembelajaran ini pada pelajar-pelajar di sekolah dan memansuhkan sistem pembelajaran bahasa inggeris yang sedia ada.Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan penggunaan bahasa inggeris di kalangan pelajar.Tidak salah jika kita memperkenalkan sistem yang baru kepada pelajar dan bukannya menjadikan paksaan sebagai medium untuk membolehkan pelajar menguasai bahasa inggeris.Oleh itu, dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa, kita memerlukan perubahan drastik dan kita tidak boleh terkongkong dengan kaedah yang sedia ada. Kerajaan tidak seharusnya membebankan pelajar dengan sistem yang sedia ada.

Saya juga yakin dan percaya, dengan adanya pengurusan yang baik sebelum sistem ini dijalankan,kementerian yang berkenaan mampu mencorak masa depan negara bagi melahirkan pelajar yang berkualiti justeru membimbing muda-mudi harapan bangsa menjadi pemimpin yang berkualiti kelak.Semoga negara kita akan terus memartabatkan pelajaran dalam negara bagi menjamin negara akan terus maju setapak ke hadapan bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan rakyat. Sekian.